Friday, April 5, 2019

Kumpulan Etnik di Sabah


Kadazan Dusun 
Kaum Kadazan Dusun  merupakan nama kaum bumiputera asli yang terbesar di Sabah dan berasal daripada Indo-China. Kaum etnik ini menggunakan pelbagai bahasa dan dialek dengan pelbagai kebudayaan dan adat resam  tradisional. Terdapat 27 suku kaum di dalamnya. Antaranya ialah Dusun Liwan, Dusun Tindal, Dusun Pahu, Dusun Lotud, Bagahak, Dusun Labuk, Dusun Kimaragang, Tagahas, Tangara, Dusun, Rungus, Orang Sungai, Kuijau, Tambanuo, dan sebagainya.
Kadazan Dusun membentuk 30 peratus populasi Sabah  yang terdiri daripada dua kaum, Kadazan dan Dusun  digabungkan bersama kerana berkongsi bahasa dan  budaya yang serupa. Bagaimanapun, bezanya etnik Kadazan tinggal di kawasan  lembah dan secara tradisi terlibat dalam   penanaman padi, sementara etnik Dusun tinggal di kawasan pergunungan di pedalaman Sabah.

Tarian Sumazau
Tarian ini merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian Sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit.
Gerak dan irama tari Sumazau adalah perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadapan  dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan.
Pesta Kaamatan (Menuai) disambut oleh Kadazandusun sebagai meraikan  tuaian  baik dan  disambut oleh semua kaum lain Sabah.

Masyarakat Bajau
Kumpulan etnik kedua terbesar di Sabah, kaum Bajau merangkumi 15 peratus populasi penduduk negeri ini. Mereka asalnya adalah keturunan pelaut yang menyembah Omboh Dilaut (Tuhan Laut) dan sering dikenali sebagai gipsi laut. Ada yang telah meninggalkan kehidupan di laut dan menjadi peladang serta penternak. Mereka pula dikenali sebagai ‘Koboi Timur’ kerana kepakaran mereka menunggang kuda. Terdapat pelbagai suku kaum di kalangan masyarakat Bajau seperti Ilanun, Sulu dan sebagainya. Kebanyakan masyarakat Bajau  mendiami  kawasan Semporna dan Kota Belud.  Kaum lelaki dalam kalangan  masyarakat ini terkenal sebagai penunggang kuda yang mahir.
Adat resam kelahiran antara masyarakat Bajau dengan masyarakat Melayu di Semenanjung terdapat banyak persamaan di mana adat seperti berpantang, menempah bidan dan melenggang perut juga dilaksanakan oleh masyarakat tersebut. Ini kerana kebanyakan masyarakat Bajau di Sabah adalah beragama Islam.
Tarian Brunsai
Suku kaum Bajau boleh dikenali melalui tarian Brunsainya. Tarian Brunsai tidak diiringi dengan musik ataupun bunyi-bunyian, ianya mengutamakan pada "kalang" seperti berbalas pantun yang diiringi oleh hentakan kaki penari lelaki.
Brunsai biasanya dilakukan pada waktu malam untuk meraikan majlis perkahwinan, merayakan kelahiran bayi, majlis kesyukuran dan bagi meraikan orang yang sudah bernazar. Penari Brunsai juga memakai pakaian yang berwarna warni seperti seluar hitam, biru, merah dan baju serta tanjak yang mempunyai corak-corak menarik.
Tarian Limbai
Tarian ini adalah sejenis tarian asli masyarakat suku Bajau. Tarian Limbai ditarikan ketika menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan. Sebaik sahaja rombongan pengantin sampai, perarakan dihentikan sementara, lalu tarian Limbai dipersembahkan di hadapan pengantin. Ia merupakan upacara khas sebagai isyarat menjemput pengantin naik ke  rumah untuk melakukan istiadat  pernikahan. Irama dan bahasa tarian mengiringi anggota-anggota rombongan pengantin naik ke rumah. Penari-penari melambai-lambaikan selendang mereka sebagai lambang mengundang dan mengucapkan selamat datang.


Murut
Kaum Murut merupakan etnik ketiga terbesar di Sabah, Murut merangkumi  tiga peratus populasi penduduk negeri ini. Secara tradisi, mereka menduduki kawasan  pedalaman di utara Borneo. Mereka juga adalah antara etnik Sabah terakhir untuk membuang amalan memburu kepala. Kini, mereka penanam padi huma dan ubi kayu, sambil memburu menggunakan sumpitan dan menangkap ikan. Kebanyakan kaum  pribumi di Sabah, pakaian tradisi mereka turut dihiasi dengan hasil seni manik yang menarik.
Tarian Magunatip
Ini merupakan sejenis tarian tradisi masyarakat suku kaum Murut dari suku Kuhijau (Kwijau). Magunatip berasal dari perkataan ‘apit' yang bermakna jepit. Ia membawa maksud ketika menari kaki penari terjepit atau terapit di antara dua batang kayu (buluh) jikalau tidak cekap mengelakkannya. Biasanya tarian ini tidak memerlukan iringan muzik oleh kerana bunyi buluh itu yang dilagakan akan menimbulkan bunyi yang kuat serta rentak dan irama yang menarik.Tarian Magunatip bertujuan untuk memeriahkan lagi sesuatu upacara yang  diadakan.
Tarian Lansaran
Suku kaum Murut amat terkenal dengan tarian  lansaran. Tarian ini hanya dilakukan di lantai khas yang berukuran kira-kira 81 kaki persegi yang dibina di tengah-tengah rumah panjang yang diperbuat menggunakan kayu bulat. Kayu bulat dipasang berlapis-lapis secara khusus supaya boleh melantun seperti "spring.
Kemuncak tarian ini ialah berbalas-balas pantun tanda mengeratkan lagi tali silaturahim . Pada masa lalu tarian itu diadakan bagi menyambut kepulangan para pahlawan yang telah mencapai kemenangan setelah bertarung di medan pertempuran.

Suku Momogun Rungus
Rungus juga di kenali sebagai Dusun Laut atau Dayak Dusun. Suku kaum Momogun Rungus mendiami kawasan pesisir pantai barat Kudat, pantai timur Kudat, Teluk Marudu, Pitas hingga ke Beluran dan juga kepulauan sekitar  Kudat.  Kebanyakan suku kaum Momogun Rungus adalah  menganut agama Kristian.
Tarian Sumundai Monggigol
Tarian suku kaum Momogun Rungus ditarikan oleh seorang lelaki dan beberapa orang perempuan. Tarian yang dinamakan Sumundai-Mongigol ini diiringi dengan paluan gong. Alatan muzik yang digunakan terdiri daripada 4 buah gong dan gendang yang dinamakan 'Tontog'. Penari perempuan akan merapatkan bahu antara satu sama lain dan menggerakkan pergelangan tangan dengan langkah-langkah yang perlahan dan lembut. Apabila lelaki dan perempuan sama-sama menari, ia dipanggil "miandak" dalam bahasa Rungus. Tarian Sumundai-Mongigol ini ditarikan apabila tiba Pesta Kaamatan, upacara pemujaan semangat, majlis perkahwinan, kematian, keraian ataupun ketika menyambut tetamu yang istimewa.
Suku Iranun
Iranun atau Illanun ialah nama satu suku kaum yang dikategorikan sebagai penduduk bumiputera Sabah. Iranun bermaksud berkasih-kasihan. Ini bagi mewujudnya sistem hubungan sosial yang amat erat, yang terikat oleh tali persaudaraan yang amat intim, yang  berlandaskan sistem kerjasama dan gotong-royong.
Mereka merupakan pelayar yang cekap, tempat tinggal masyarakat Iranun banyak tertumpu di kawasan tepi pantai. Namun ada juga yang terletak di bahagian dalam daerah. Masyarakat Iranun ini banyak menetap di daerah Kota Belud seperti di kampung Pantai Emas, Kaguraan, Kota Peladok, Tamau, Paya-Payas, Marampayan, Kota Bongan, dan lain-lain.
Suku Idaaan
Idaan adalah  etnik yang  menetap terutamanya di sekitar daerah Lahad Datu di persisiran timur Sabah.  Populasi semasa dianggarkan sekitar 6,000 ,  etnik ini memiliki hak esklusif bagi mengumpulkan sarang burung layang-layang di dalam gua batu kapur  di kawasan penempatan  mereka. Sebahagian besarnya adalah muslim, tetapi sebahagian kecil suku kaum yang dikenali sebagai Begaak adalah  animist.
Selama beberapa abad etnik Idaan telah memiliki mekanisme sosial berasaskan  sejarah. Sebagai etnik minoriti, Idaan beroperasi sebagai kumpulan korporat berkait rapat berkaitan dengan aktiviti menuai sarang burung layang-layang.
Suku Bisaya
Bisaya dikatakan di antara yang pertama menerima Islam pada awal kurun ke-13. Kedatangan  Islam dalam  kaum Bisaya adalah melalui hubungan dagang dengan pedagang dari tanah Arab. Jika dilihat daripada segi kehidupan sosial, sedikit sebanyak pengaruh Arab memainkan peranan dalam urusan mereka sehari-harian.
Bangsa Bisaya adalah suku  kaum  asli yang telah tinggal dan menetap di Borneo Sabah sejak beribu tahun yang lalu. Kemahiran suku kaum ini dalah dalam bidang pertanian. Mereka juga mahir memburu binatang liar di hutan untuk dimakan.  Selain itu mereka juga menternak ayam, itik, angsa,  lembu dan lain-lain binatang sebagai makanan.
Kaum Bisaya juga mahir dalam seni kraftangan dan sebahagian besar peralatan kraftangan digunakan dalam kehidupan seharian mereka  selain mahirr menangkap ikan.
Tarian Bubu
Kaum Bisaya mempunyai tariannya sendiri, iaitu Tarian Bubu yang biasanya dipersembahkan  semasa upacara perkahwinan, pertunangan dan jamuan  masuk rumah baru.  Mereka percaya kepada kuasa ghaib, oleh itu dukun atau pawang menjadi perantara komunikasi bagi mereka dengan dunia lain.
 Suku Suluk 
Sulu berasal daripada Kepulauan Sulu dan Borneo (Sabah) sejak zaman Kesultanan Sulu lagi. Kaum Suluk ini menggunakan bahasa Tausug sebagai bahasa pertuturan. Agama rasmi yang dianuti adalah agama Islam. Kaum Suluk ini juga mempunyai budayanya yang unik dan tersendiri. . Pusat petempatan bagi orang Suluk adalah terletak di daerah Kudat, Semporna, Sandakan, Lahad Datu, Kota Kinabalu, Menggatal,T uaran dan Telipok
 Orang Suluk tidak memanggil diri mereka Suluk melainkan menggelar diri mereka Tausug yang  membawa maksud "Orang dari Sulu". 
Tarian Balok-balok
Tarian Bolak-Bolak adalah  tarian suku   kaum Suluk yang diiringi dengan pukulan "gabbang" yang sering diadakan di majlis-majlis perkahwinan dan majlis-majlis keramaian yang lain. Tarian ini dilakukan oleh kaum wanita dan lelaki yang memakai pakaian tradisional berwarna warni.
Penari menggunakan empat bilah kayu kecil jenis keras yang digenggam dengan tangan, dua bilah kayu dalam satu tangan ditepuk-tepuk sehingga mengeluarkan bunyi sama rentak dengan pukulan kulintangan.
 Suku Tidung
Suku kaum Tidung adalah suku kaum rumpun Melayu yang banyak terdapat di bahagian tenggara Sabah iaitu sekitar daerah Tawau dan Sebatik. Antara suku kaum Melayu Tidung begitu dikenali di Tawau ialah Tidung Apas, Tidung Indrasabah, Tidung Membalua, Tidung Merotai dan Tidung Kalabakan. Terdapat juga ramai suku kaum Tidung di beberapa kawasan di Sandakan seperti di Beluran.
Mereka adalah etnik Muslim dan menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan entiti masyarakat lain di sekitarnya seperti masyarakat Bolongan ( Tanjung Selor), masyarakat Banjar ( Banjarmasin ), masyarakat Kutai dan masyarakat Berau yang merupakan penghuni. 
Tarian Zapin
Dalam budaya masyarakat Melayu Tidung, tarian zapin atau zipin serta alat muzik seperti gambus dan kompang yang berasal dari budaya Arab sudah lama digunakan sejak turun temurun. Di Tawau ini juga terdapat masyarakat Melayu keturunan Arab dan Habib yang merupakan golongan pendakwah Islam  terdahulu yang telah menetap di sini dan berkahwin dengan masyarakat tempatan.

Kepelbagaian Etnik dan Budaya Sabah

Negeri Sabah mempunyai tidak kurang  dari tiga puluh etnik suku kaum . Sebuah  negeri yang kaya dengan tarian  kebudayaannya. Apabila tiba musim perayaan seperti Pesta Kaamatan dan juga perayaan Sabah Fest yang dirayakan pada Mei setiap tahun, orang ramai dapat menyaksikan pelbagai tarian kebudayaan yang dipersembahkan untuk memeriahkan lagi suasana perayaan berkenaan.
Penduduk Sabah terdiri daripada pelbagai suku kaum.  Etnik terbesar  di Sabah adalah Kadazan Dusun, Bajau dan Murut.  Suku kaum yang lain ialah Kedayan, Bisaya, Irranun, Rungus, Kimarang, Kwijau, Lundayeh, Ubian, Binadan, Orang Sungai, Tatana, Tagaas, Brunei, Suluk dan lain-lain.
Perbezaan di antara berbagai-bagai suku kaum tersebut adalah ketara terutama sekali dari segi bahasa, ugama, adat istiadat  dan pegangan hidup termasuklah pakaian tradisi mereka.

Tempat Menarik di Sekitar Kota Belud

Sondot View Camp

Terletak di Kampung Kebayau Kota Belud. Merupakan tempat rekreasi yang sesuai untuk aktiviti bersama keluarga, atau rakan-rakan.
Aktiviti yang boleh dilakukan termasuklah barbeku, bermandi-manda, bermain bola tampar, dan berkhemah.
Lengkap dengan pondok berbumbung sesuai untuk 3 hingga 6 orang pengunjung untuk bermalam dengan kadar sewa serendah RM 30 sehari.

Polumpung Melangkap View Camp Site

Merupakan pusat rekreasi yang terkenal untuk aktiviti perkhemahan dan mandi manda. Polumpung Melangkap View Camp Site menyediakan pelbagai kemudahan dan aktiviti yang sesuai untuk keluarga dan berkumpulan.

Eco Pelancongan Tagal Kampung Talungan

Terletak di kampung Tolungan, Kota Belud. Pusat Rekreasi ini sesuai untuk aktiviti riadah bersama keluarga dan juga secara berkumpulan. Anda boleh berkhemah, bermandi-manda, berakit, flying fox, melihat dan memberi makan ikan-ikan bermain di gigi air, dan juga bermalam di tempat ini. Kemudahan yang disediakan termasuk tandas, bilik mandi, tempat penginapan dan kemudahan barbeku, tiub tayar untuk dijadikan pelampung, kedai runcit dan juga dapur.

Eco Pelancongan Kampung Terintidon

Terletak di Kampung Terintidon, Kota Belud. Aktiviti yang boleh dilakukan adalah seperti belajar menebarkan jala (Rambot), jungle trekking dan berekreasi bersama keluarga.
Aktiviti jungle trekking termasuklah mendaki Bukit Garas (2.45km), Bukit Kilabi (4km), berkhemah di Base Camp Nolobuh sejauh 7km perjalanan secara jungle trekking.
Untuk aktiviti jungle trekking ke Nolobuh Base Camp, anda boleh memilih pakej 2 hari 1 malam atau secara perjalanan pergi balik yang mengambil masa 1 hari. Antara aktiviti di sini ialah perjalanan meneroka gua yang sangat mencabar (anda terpaksa berenang, merangkak dan memanjat) dan akhirnya melihat suasana air terjun di dalam gua.
Kemudahan yang disediakan termasuklah pondok di tepi sungai lengkap dengan peralatan barbeku. Terdapat beberapa pondok (sulap) yang disediakan khas untuk pengunjung yang ingin bermalam dengan kemudahan yang minimal iaitu pelita sebagai lampu malam.
Tandas dan bilik mandi juga disediakan untuk pengunjung.

Borneo Bayau Flying Fox

Dengan jarak 340 meter dan pada ketinggian kira-kira 50 meter, pada cuaca yang cerah anda akan terbang dengan Gunung Kinabalu berada di sebelah kanan anda.
Rakamkan saat ini dengan kamera anda dan simpan memori yang sukar untuk diperoleh saat-saat anda terbang bersama kami.

Melangkap Nabalu Rafflesia


Anda inginkan ketenangan suasana kampung di tepi sungai dengan udara yang nyaman dan sejuk dikala senja ? Bagaimana jika anda cuba menginap dan bersantai di Melangkap Nabalu Rafflesia?
Aktiviti biasa di sini ialah berkhemah, hiking ke Bukit Melangkap, menyusur Sungai Panataran dan bermandi manda.
Tempat ini juga menyediakan pondok tradisional, homestay, bilik persalinan serta tandas.

Nahandang Melangkap Homestay & Campsite

Aktiviti utama ialah barbeku, berkhemah dan bermandi manda.
Kemudahan yang disediakan ialah seperti kelengkapan barbeku, kerusi dan meja kayu untuk bersantai, tandas, bilik persalinan, sewa khemah dan homestay.

Eco Pelancongan Ikan 

Jinak Sungai Paramat, Melangkap Tiong
Merupakan salah satu tempat dimana anda boleh melihat, memberi makan,membelai dan memegang ikan. Jangan risau, ikan ini tidak akan mencederakan anda. Lagipun ikan ini tidak bergigi.
Kemudahan disediakan termasuk tandas dan bilik mandi dan bilik persalinan.

Pak Tuah Coral Beach Homestay

Lokasi: Pak Tuah Coral Beach Homestay
Terdiri daripada 5 buah homestay ringkas yang berhadapan dengan pantai. Terdapat jeti kecil yang sesuai untuk anda bersantai dan mungkin boleh mencuba nasib untuk memancing di sini.
Biasanya tempat ini sesak terutamanya pada hujung minggu. Sangat sesuai untuk anda yang ingin menginap di tempat ini secara berkumpulan atau dalam jumlah keluarga yang besar
Sesuai untuk bermandi-manda, bermain pasir bersama anak-anak, dan menikmati suasana pemandangan dikala senja menjelang.

Pantai Rangbulan

Pantai Rangbulan menyediakan perkhidmatan penginapan (chalet) dan site camping, memancing, banana boat, kawasan mandi manda, sukan pantai seperti berkayak dan banyak lagi.
Juga menyediakan tempat untuk aktiviti seperti hari keluarga, sambutan hari jadi, pakej perkahwinan dan sebagainya.

Taburan Eco Resort

Lokasi: Kampung Toburan
Merupakan kawasan pantai yang mempunyai pemandangan yang menarik. Sesuai untuk berekreasi bersama keluarga dan rakan-rakan.
Terdapat rumah tradisi Dusun Tobilung. Anda boleh berkemah atau bermalam di tempat ini sambil menikmati suasana malam yang tenang, melihat bintang juga menikmati suasana matahari terbit dan terbenam.

Cabana Retreat

Lokasi: Cabana Retreat
Terletak di Kampung Rampayan, Kota Belud. Yuran Masuk adalah RM 5.00 seorang.
Tempat ini juga sesuai untuk bermandi-manda, menikmati waktu senja dan bersantai bersama keluarga atau rakan-rakan.
Juga menyediakan pelbagai pakej seperti perkahwinan, sambutan hari jadi dan sebagainya. Anda juga boleh membawa khemah anda dan berkhemah di tempat ini dengan yuran masuk yang berpatutan.

Dedsaan Beach Village

Terletak di Kampung Rampaian Laut, Kota Belud. Jika anda bercadang untuk beriadah bersama keluarga, mungkin ini merupakan tempat yang sesuai, anda boleh bermandi manda, bersiar-siar di pesisiran pantai dan menikmati pemandangan mentari senja.
Yuran masuk adalah serendah RM 2.00 seorang sahaja.

Dragon Pearl Beach Resort Sdn. Bhd.

Lokasi: Dragon Pearl Beach Resort Sdn. Bhd. Kota Belud
Terletak di Kampung Mangkabar, Jalan Pituru Laut. Merupakan pusat peranginan yang terkenal untuk aktiviti Snorkeling, berkayak, berkemah, memancing dan jungle trekking dengan harga yang berpatutan untuk setiap aktiviti.

Pesta Kaamatan dan Unduk Ngadau Kota Belud

PESTA KAAMATAN

Kota Belud juga terkenal dengan perayaan-perayaan yang disambut oleh masyarakat di sekitar Kota Belud. Salah satu perayaan yang sering dinanti-nantikan oleh penduduk di sini ialah Pesta Kaamatan. Pesta Kaamatan adalah perayaan yang disambut oleh kaum dusun tindal di Kota Belud. Pesta Kaamatan disambut pada penghujung bulan Mei setiap tahun. Pesta Kaamatan adalah sambutan sempena selesainya hari penuaian padi. Unduk Ngadau dan Pesta Kaamatan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Ini adalah kerana, unduk ngadau adalah dikaitkan dengan semangat padi dan Huminodun. Menurut cerita dari mulut ke mulut, Huminodun adalah seorang gadis yang sangat jelita dan beliau juga seorang yang berbudi bahasa, bahkan beliau telah mengorbankan dirinya agar masyarkat di Sabah pada ketika itu dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa. Kononya, pengorbanan beliau telah menyuburkan tanaman-tanaman padi dan hasil pertanian yang lain di Sabah pada ketika itu.



Pakaian Tradisi Masyarakat Kota Belud


Pakaian tradisi suku-suku kaum yang terdapat di Kota Belud juga akan dipamerkan pada acara Tamu Besar Kota Belud, seperti sinipak (suku Dusun Tinal Kota Belud)

Pakaian tradisi suku kaum Bajau

Pakaian tradisi suku dusun Tindal

Dan banyak lagi yang dipamerkan pada acara tahunan Tamu Besar Kota Belud. Segala keunikan dan kepelbagaian tradisi di Kota Belud akan dapat disaksikan pada acara ini. 

Keunikan Kota Belud



Kota Belud juga dikenali sebagai "daerah Koboi Timu". Ini adalah kerana, kaum Bajau di Kota Belud mampunyai kemahiran menunggang kuda. Kaum Bajau menunjukkan kemahiran mereka menunggang kuda dan kerbau yang dihiasi dengan pakaian berwarna-warni setiap kali tibanya  musim acara Tamu Besar Kota Belud.

Acara Tamu Besar Kota Belud diadakan sekali dalam setahun. Ianya merupakan satu acara tahunan yang menarik. Ini adalah kerana, penyertaan dalam Acara Tamu Besar ini bukan hanya melibatkan warga Kota Belud sahaja, tetapi merangkumi penyertaan dari luar daerah Kota Belud juga. Tamu Besar Kota Belud secara umumnya tamu terbesar yang diadakan di seluruh Sabah.



Pada masa inilah pelancong akan disajikan dengan kepelbagaian hasil produk rimba, tani dan kraftangan serta juadah makanan yang beraneka dari kuih muih tradisional sehinggalah kepada makanan yang pelbagai dan menyelerakan. Selain daripada produk rimba, tani, kraftangan dan juadah maknanan yang pelbagai, dalam acara tahunan ini juga masyarakat Kota Belud akan mempamerkan kebudayaan mereka dari segi pakaian, tarian dan juga nyanyian.


Kota Belud

Kota Belud terletak di  Bahagian Pantai Barat, Sabah 70 kilometer dari Kota Kinabalu ibu negeri Sabah, iaitu kira-kira sejam perjalanan menggunakan kereta. Nama Kota Belud ini berasal daripada Bahasa Bajau, yakni "kota" yang bermaksud kubu pertahanan manakala "belud" pula bermaksud bukit. Justeru itu, Kota Belud diertikan sebagai "Kubu Pertahanan di atas Bukit". Daerah ini turut mendapat jolokan nama sebagai "Daerah Koboi Timur" kerana kehebatan penduduknya menunggang kuda, kerbau dan lembu. Selain itu, daerah ini juga terkenal dengan Tamu Besar atau Pasar Terbuka yang diadakan setiap hujung minggu(ahad).
Penduduk di Kota Belud terdiri daripada pelbagai suku kaum dan etnik. Antaranya ialah, Dusun, Bajau Samah, Iranun, Ubian dan kaum Cina. Meskipun penduduk di Kota Belud terdiri daripada pelbagai kaum, mereka tetap hidup dalam suasana yang harmoni dan saling menghormati antara satu sama yang lain. Kepelbagaian Etnik dan budaya dalam kalangan masyarakat Kota Belud inilah yang menjadikan Kota Belud menjadi destinasi pelancong luar untuk berkunjung ke Kota Belud.